PEMERINTAH ABDB MENYERAHKAN TUGAS
DAN MENGALU-ALUKAN PEMIMPIN BARU
PERKHEMAHAN TUTONG, Khamis 31 Disember 2009
- Di dalam suasana yang penuh nostalgia dan kenangan, pegawai-pegawai
serta anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB)
menyaksikan satu detik penting dalam sejarah ABDB bersempena dengan
Upacara Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pemerintah ABDB. Majlis
tersebut berlangsung antara Pemerintah ABDB yang bersara, Yang
Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji
Awang Halbi bin Haji Md Yussof, yang menyerahkan tugas kepada Pemerintah
ABDB yang baru, Yang Mulia Mejar Jeneral Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin
Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Sebaik tiba
di padang kawad, Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja
Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof
menerima Tabik Kehormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan
Kehormatan seramai 493 anggota ABDB yang terdiri daripada Tentera Darat
Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei,
dan Askar Wanita di bawah perintah Ketua Perbarisan, 289 Lieutenant
Colonel Abd Latif bin Haji Metussin.
Selepas
pemeriksaan perbarisan, acara disusuli dengan perbarisan berjalan lalu
perlahan dan cepat dan seterusnya perbarisan mara menghadap. Selepas
itu, Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral
Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof menyampaikan
ucapan terakhir beliau selaku Pemerintah ABDB yang ke-7.
Dalam
ucapan tersebut, beliau memulakan dengan merakamkan setinggi-tinggi
tahniah kepada Pemerintah ABDB yang baru dan menyuarakan keyakinan serta
berdoa supaya Pemerintah ABDB yang baru akan sentiasa diberikan rahmat
petunjuk dan hidayah oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam menjalankan
tugas dan tanggungjawab yang baru ini. Beliau juga membuat imbasan
terhadap beberapa kejadian-kejadian penting yang telah dilalui seperti
penerbitan Kertas Putih Pertahanan 2004 dan Kemaskini 2007 yang
menggariskan pendekatan dan keperluan kemajuan ke arah menjadikan ABDB
sebuah ketumbukan tentera yang terlatih, berdisiplin dan cekap yang
bukan hanya memiliki kekuatan luaran, malahan juga kekuatan dalaman.
Beliau
juga menambah bahawa pendekatan dari Kertas-Kertas Putih Pertahanan ini
ternyata antara lain berhasil menaikkan profil ABDB dalam negeri,
rantau dan dunia sejagat bilamana anggotanya telah berkhidmat, bersedia
menabur bakti, bukan sahaja di Pekan Bangar, Pulau Baru-Baru,
perbatasan, ruang udara, kawasan daratan dan maritime negara, malahan
telah merentas sempadan ke Kepulauan Mindanao, Selatan Filipina, Wilayah
Aeh dan Jogjakarta di Republik Indonesia, dan di Selatan Lubnan bagi
penugasan pengamanan, bantuan kemanusiaan dan pertolongan bencana.
Beliau
selanjutnya memberi peringatan, berlandaskan ucapan ulung beliau semasa
menerima amanah selaku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei
pada 28 Mac tahun 2003 yang lalu di mana beliau menekankan akan
kepentingan penghayatan mendalam terhadap erti ‘pemimpin' dan
‘kepimpinan' dan juga penghayatan terhadap tugas dan tanggungjawab baik
dari seorang pemimpin yang paling kanan berpangkat Jeneral atau yang
dipimpin yang paling muda berpangkat soldadu.
Sebagai
penutup kepada ucapan, beliau telah mengucapkan ribuan terima kasih
kepada semua pegawai-pegawai dan anggota yang berkhidmat sewaktu
pemerintahan beliau. Beliau juga berharap agar kerjasama dan sokongan
akan terus diberikan kepada Pemerintah ABDB yang baru.
Selesai
sahaja ucapan, acara diteruskan dengan Upacara menandatangani Sijil
Serah Terima Tugas Jawatan Pemerintah ABDB, menandakan secara rasmi
upacara serah terima tugas. Doa selamat dibacakan bagi memberkati
upacara tersebut.
Bagi
menandakan penerimaan jawatan, Pemerintah ABDB yang baru, Mejar
Jeneral Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri
Paduka Haji Abidin menerima Tabik Hormat dan memeriksa Perbarisan
Kawalan Kehormatan. Seterusnya, pemimpin baru ABDB menyampaikan ucapan
perdana beliau sebagai Pemerintah ABDB yang ke-8.
Dalam
ucapan tersebut, beliau terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan jutaan terima kasih kepada mantan Pemerintah ABDB diatas
kepimpinan beliau yang bijaksana di dalam menerajui ABDB semenjak 28
Mac 2003. Beliau juga menyatakan terasanya suasana yang amat sedih
disebabkan kehilangan seorang pemimpin, pewira, ilmuan dan ketua
keluarga yang telah menerajui dan menghala tuju serta mengkemudi ABDB.
Beliau
seterusnya menyatakan bahawa secara peribadi hari ini merupakan satu
penghijrahan di bulan Muharram yang penuh bermakna kepada beliau dan
keluarga beliau, kerana bermulanya pada hari ini beliau akan memikul
tugas untuk menerajui ABDB yang diamanahkan untuk mempertahankan
kedaulatan negara yang dicintai. Beliau menyatakan bahawa ini adalah
satu tugas dan amanah yang amat besar yang perlu diamati dengan penoh
tanggungjawab, yangmana beliau percaya amat memerlukan komitmen yang
menyeluruh secara satu pasukan. Walaubagaimanapun beliau yakin dengan
kerjasama yang erat yang telah terjalin di antara semua, yangmana
meliputi kesemua peringkat warga ABDB disamping platform yang telah
dibina oleh Pemerintah ABDB yang terdahulu, akan membolehkan segala
cabaran yang bakal dihadapi dapat diatasi dengan sebaik mungkin.
Beliau
menambah bahawa ke arah ini, semua hendaklah terus menyemai semangat
perpaduan demi keutuhan ABDB, mempunyai komitmen yang tinggi,
bertanggungjawab serta ‘accountable' dalam segala tindak-tanduk,
berfikiran jauh kehadapan dan berani mewujudkan pembaharuan. Beliau
menyatakan kepercayaan beliau bahawa dengan adanya kelebihan inilah yang
dapat membawa ABDB untuk mengharungi cabaran-cabaran masa hadapan
sebagai benteng pertahanan negara dengan berkesan, kredible dan
profesional.
Dalam
ucapan ulung selaku Pemerintah ABDB ini, beliau memberi peringatan
bahawa imej dan ketrampilan, warga yang berilmu, profesionalisme dan
disiplin yang tinggi, merupakan penyumbang utama kepada kecemerlangan
organisasi dan ke arah imej ABDB sebagai pasukan yang kredible. Beliau
menambah gambaran serta imej yang baik datangnya dari ketrampilan dan
sahsiah diri pemimpin dengan memberikan penekanan ke atas
perkara-perkara asas seperti disiplin, latihan yang berterusan,
peningkatan ilmu pengetahuan, ketahanan mental dan fizikal serta
mempunyai ciri-ciri kerohanian dan akidah yang kukuh. Dalam aspek ini,
latihan dan bimbingan ke arah mengukuhkan lagi kewibawaan dan tahap
kesiapsiagaan, perwatakan dan ketrampilan setiap individu serta pasukan
perlu diberikan penekanan oleh setiap lapisan pemimpin.
Dalam
menghadapi pergolokan dunia tanpa sempadan, beliau menyatakan bahawa
cabaran dan ancaman yang datang dari pelbagai spektrum dan dimensi
yangmana meliputi bukan sahaja ancaman peperangan ketenteraan akan
tetapi ancaman bukan peperangan yang berbentuk seperti perubahan iklim
dan pandemic, disamping peningkatan arus permodenan teknologi, telah
memaksa semua untuk membuat perubahan dan tatacara pemikiran atau
mindset.
Justeru
itu, beliau menyeru agar semua berani mewujudkan pembaharuan dan
perubahan dan harus melangkah ke hadapan dengan lebih pantas agar tidak
akan ketinggalan dan berupaya bertindak secara responsif dan kredible.
Beliau juga menekankan perlunya menaruh keyakinan bahawa perubahan boleh
berlaku dalam masa yang singkat. Oleh yang sedemikian, pandangan
kehadapan perlu dijadikan sebagai mekanisme dan dalam masa yang sama
tatacara berfikir perlulah dibuka dengan seluasnya. Namun cara membuka
dan melebarkan fikiran haruslah berbekalkan ilmu dan kemahiran. Beliau
menyatakan bahawa apa yang penting sekarang ialah bagi semua untuk
bersedia dan turut menyahut apa jua cabaran dan lebih-lebih lagi
perubahan ke arah peningkatan dalam memantapkan organisasi serta
profesionalisme anggota.
Beliau
juga menitikberatkan kepentingan bagi mengseimbangkan perkembangan
rohani atau spiritual. Beliau meluahkan rasa kesyukuran beliau dengan
landasan yang telah dibina oleh Pemerintah terdahulu, dalam
mengembangkan syiar Agama Islam di dalam pasukan khususnya menjana
pemikiran yang berunsurkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dan pada
melahirkan sebuah pertahanan modal insan yang mantap. Beliau berharap
agar apa jua yang telah dilaksanakan, dipraktikkan dan garis panduan
yang telah diamanahkan akan dapat diteruskan malahan dimantapkan.
Pada
pengakhiran ucapan, beliau mengongsikan pidato Khalifah Abu Bakar
As-Siddiq Ra saat dilantik menjadi Khalifah Al-Rashidin yang pertama
yangmana akan beliau jadikan sandaran serta ingatan didalam menerajui
ABDB, ‘Saudara-saudara, aku telah diangkat menjadi pemimpin bukanlah
kerana aku yang terbaik diantara kalian semuanya, untuk itu jika aku
berbuat baik bantulah aku, dan jika aku berbuah salah luruskanlah aku.
Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan kebohongan itu adalah
pengkhianatan'.
Selepas
penyampaian ucapan tersebut, Pemerintah ABDB yang baru, Yang Mulia
Mejar General Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok
Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri serta para jemputan beredar Mes
Pegawai Perkhemahan Tutong bagi jamuan ringan.
Diakhir
majlis, mantan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja
Major General Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof
diarak keluar di atas satu kenderaan. Upacara ini diiringi oleh
pegawai-pegawai dan anggota-anggota ABDB, yang dikumpulkan dari kesemua
unit-unit tentera yang hadir, dimana perarakan bertolak dari Mes Pegawai
Perkhemahan Tutong dan berakhir di Balai Pengawal Perkhemahan Tutong.