TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN MENGHADIRI
PERSIDANGAN KESELAMATAN ANTARABANGSA MOSCOW KESEPULUH
MOSCOW, Selasa, 16 Ogos 2022 – Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd. Kadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Negara Brunei Darussalam, telah menghadiri Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow ke-10 pada 15 Ogos 2022 hinggan 17 Ogos 2022, anjuran Kementerian Pertahanan Persekutuan Rusia, yang telah diadakan di Pusat Pendidikan AVANGARD, Moscow.
Semasa pembukaan, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, Presiden Persekutuan Rusia, telah menggariskan kepentingan persidangan ini sebagai platform untuk membincangkan cabaran yang meluas dalam isu keselamatan global dan serantau serta menggalakkan peningkatan dialog bagi menangani kebimbangan keselamatan bersama. Menteri Pertahanan Persekutuan Rusia, Army General Sergei Shoygu turut menekankan kepentingan persidangan itu bagi menggalakkan kerjasama ketenteraan merentasi negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Negara Brunei Darussalam juga berkesempatan mengadakan mesyuarat dua-hala berasingan dengan Tuan Terutama kolonel Jeneral Alexander Fomin, Timbalan Menteri Pertahanan, Kementerian Pertahanan Persekutuan Rusia di mana kedua belah pihak menzahirkan perasaan berpuas hati dengan hubungan persahabatan yang baik dan mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dan tentera yang sedia ada. Seterusnya, Timbalan Menteri Pertahanan turut menyaksikan pameran industri pertahanan di International Military-Technical Forum (ARMY 2022).
Mengiringi Timbalan Menteri Pertahanan ke persidangan tersebut ialah Kolonel (Bersara) Norsuriati binti Haji Sharbini, Setiausaha Tetap (Dasar, Kewangan dan Pentadbiran) dan Ampuan Datin Yura Kasumawati binti Dato Paduka Haji Mohd Adnan, Pemangku Pengarah Dasar Pertahanan.
Persidangan tersebut menghimpunkan menteri-menteri pertahanan, timbalan-timbalan menteri pertahanan, serta para pegawai kanan pertahanan dan tentera. Antara topik yang dibincangkan adalah Keselamatan Global dalam Dunia Multipolar, Aspek Serantau dalam Keselamatan Global: Asia-Pasifik, dan Aspek Serantau dalam Keselamatan Global: Afrika, Timur Tengah dan Amerika Latin.
MCIS merupakan acara tahunan yang diadakan sejak 2012 oleh Kementerian Pertahanan Persekutuan Russia. Acara ini bertujuan untuk memupuk kefahaman mengenai isu-isu keselamatan yang membentuk dan mempengaruhi persekitaran strategik, di mana para peserta persidangan membahas agenda keselamatan global dan serantau.