Skip Ribbon Commands
Skip to main content
NILAI-NILAI TERAS

logo_NILAI_TERAS1Nilai-nilai teras mencerminkan sikap atau budaya yang diperlukan oleh setiap individu untuk mencapai wawasan dan matlamat Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Nilai-nilai teras dihasilkan berpandukan kepada peranan kita sebagai masyarakat, pemimpin, dan pengurus dalam usaha untuk mencapai objektif dan melaksanakan kewajipan memelihara kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara. Nilai-nilai ini berguna dalam membina akhlak seseorang anggota ABDB dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan supaya dihormati. Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah mengenal pasti 4 nilai teras yang perlu diserapkan dan diamalkan oleh semua individu.

TAKWA
Takwa bermaksud taat kepada perintah Allah subhanahu wata'ala dan menjauhi larangan-larangan  Nya serta yakin dalam kepercayaan dan keimanan yang memimpin kita kearah pencapaian matlamat dengan cemerlang.   Nilai ini menanamkan keazaman dalam diri setiap anggota untuk berkhidmat dengan penuh keimanan dan meyakini setiap kerja sebagai ibadah serta mengharapkan ganjaran daripada Allah subhanahu wata'ala.   Secara umum, ketakwaan akan mendorong kearah meningkatkan motivasi kerohanian kepada individu untuk berdisiplin dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan penuh jujur dan berhemah tinggi.

Seseorang yang tidak mempunyai nilai takwa akan mudah terdorong kepada perkara-perkara yang negatif antaranya seperti pecah amanah, khianat, penyalahgunaan dadah dan masalah disiplin.

Antara amalan nilai adalah seperti berikut:

  • Sentiasa bertawakal kepada Allah subhanahu wata'ala dalam menjalankan segala tugas dan tanggungjawab.

  • Sentiasa menyedari bahawa  Allah subhanahu wata'ala mengetahui segala-galanya perbuatan kita.

  • Sentiasa melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab dengan penuh komitmen, jujur dan amanah.

  • Sentiasa berhati ikhlas, berniat mulia dan berjiwa murni.

  • Sentiasa mengamalkan nilai-nilai keperibadian yang mulia dan berdisiplin yang tinggi.

  • Sentiasa menjaga dan menggunakan harta benda pasukan dengan bijaksana menurut peraturan-peraturan yang ditetapkan.

  • Sentiasa mengelakkan rasuah atau penyelewengan.

  • Mengamalkan cara hidup yang sihat bagi menjaga maruah persendirian dan pasukan.

SETIA
Setia bermaksud komited dalam mempertahankan dan memelihara kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara sejajar dengan konsep Melayu Islam Beraja (MIB).   Ia juga mendorong untuk berkhidmat dengan taat setia dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab individu dan pasukan.

Dalam konteks ini, kesetiaan juga memerlukan semangat patriotisme dan setiakawan yang tinggi.   Semangat patriotisme akan menanam rasa cinta yang mendalam dan kesediaan untuk berkorban demi negara.  Manakala semangat setiakawan akan membina satu pasukan yang ahli-ahlinya sentiasa menghormati dan mempercayai sesama sendiri serta sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pasukan.

Seseorang yang tidak memiliki nilai setia boleh terdedah kepada perbuatan khianat kepada raja, agama, bangsa, negara pasukan dan individu.   Ia juga boleh mendorong kepada sikap menyendiri dan tidak mempunyai perasaan kekitaan serta melunturkan semangat perpaduan dan patriotisme.

Antara amalan nilai ini adalah seperti berikut:

  • Sentiasa melaksanakan perintah Allah subhanahu wata'ala dan menjauhi larangan-Nya.

  • Sentiasa taat kepada Agama, Raja Negara dan Bangsa.

  • Sentiasa patuh kepada peraturan pasukan, perlembagaan dan undang-undang negara.

  • Sentiasa berkhidmat dengan penuh perasaan cinta dan semangat yang kuat terhadap negara.

  • Sentiasa taat serta menurut perintah dan arahan sah ketua dan pemerintah.

  • Sentiasa setia kepada peringkat atasan, rakan sejawat dan yang di pimpin.

  • Sentiasa berusaha meningkatkan perpaduan dan mengukuhkan semangat berpasukan dalam mendukung wawasan dan matlamat pasukan.

  • Sentiasa berusaha dengan cekal dan bersedia untuk berkhidmat walau pun di luar masa bertugas.

  • Sentiasa bekerjasama, bersatu-padu dan bersefahaman.

  • Sentiasa menghormati setiap anggota tanpa membezakan bangsa, agama, budaya dan jenis jantina (gender).

  • Sentiasa menumpukan masa dan tenaga serta mengutamakan kepentingan pasukan.


BERANI
Berani bermaksud kesediaan untuk bertanggungjawab dalam menghadapi segala rintangan serta bijaksana dalam mengambil tindakan.

Nilai ini juga meningkatkan keazaman individu bagi memperbaiki diri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh keyakinan demi menegakkan kebenaran dalam apa jua keadaan.   Disamping itu, ia juga dapat menjaga maruah serta kehormatan individu, pasukan dan masyarakat.

Kegagalan akan berlaku jika nilai keberanian tidak diletakkan dalam situasi yang bersesuaian.   Berani tanpa fikiran waras boleh memudaratkan diri sendiri, individu, pasukan dan negara.

Antara amalan nilai ini adalah seperti berikut:

  • Sentiasa bersedia untuk bekorban bagi kepentingan pasukan dan negara.

  • Sentiasa bersedia untuk berjuang dalam melaksanakan tugas dengan semangat kepahlawan.

  • Sentiasa berada di barisan hadapan demi menegakkan maruah, bangsa dan agama.

  • Sentiasa bertanggungjawab atas segala tindakan.

  • Sentiasa berpendirian tegas mempertahankan kebenaran.

  • Sentiasa mengatasi segala halangan untuk mengekalkan kemurnian dan keperibadian yang mulia.


PROFESIONAL
Profesional bermaksud kecekapan, kemahiran, ketekunan, pengetahuan, dedikasi dan etika yang diperlukan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Nilai ini meningkatkan kemahiran seseorang untuk menampilkan identiti  pasukan yang cekap, berkesan dan berwibawa.

Seseorang hendaklah menghayati dan menghormati etika kerja dan hidup yang mulia dengan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan atau menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan yang bersesuaian.

Seseorang yang tidak mahu meningkatkan kemahiran dan tidak mengendahkan etika kerja tidak akan dapat mencapai kemajuan yang dihasratkan.

Antara amalan nilai ini adalah seperti berikut:

  • Sentiasa melaksanakan tugas secara profesional untuk menjadikan satu pasukan yang cekap, berkesan dan berwibawa.

  • Sentiasa membuat kerja dengan tekun, teliti, cermat dan dedikasi.

  • Sentiasa menyelesaikan tanggungjawab yang diberikan dengan sempurna dalam jangka waktu yang ditetapkan.

  • Sentiasa membina kerja berpasukan.

  • Sentiasa berusaha untuk memelihara kekuatan fizikal dan mental.

  • Sentiasa memelihara kemahiran asas ketenteraan sepanjang perkhidmatan.

  • Sentiasa berusaha untuk mencapai peningkatan minda dan pengetahuan.

  • Sentiasa berusaha dengan menggunakan kepakaran dan kemahiran untuk mencapai kecemerlangan dalam melaksanakan tugas.

  • Menggunakan teknik -teknik yang lebih maju dalam melaksanakan tanggungjawab.

  • Sentiasa menggunakan semua sumber yang diamanahkan dengan penuh efisien.

  • Sentiasa menghormati susunan pemerintahan (Chain of Command) dan perhubungan antara pegawai atasan, rakan sejawat dan yang dipimpin.

  • Sentiasa bekerja dengan etika yang mulia dan budaya kerja yang sihat.

  • Sentiasa menghormati hak orang-orang lain.

  • Sentiasa bijaksana dalam membuat pertimbangan dan keputusan.

  • Sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan pengetahuan serta kemahiran untuk membolehkan penggunaan teknologi maklumat dalam pekerjaan.