Tutong Kem, Jumaat, 6 November 2020. Majlis Makan Malam Beradat telah diadakan di Mes PW, SSjn dan Sjn Batalion Kedua Tutong Kem bagi Mantan Sarjan Mejar Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).
Hadir di majlis sebagai Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Pegawai Waran 1 (U) Muhd Syahiran bin Haji Abu Bakar. Majlis diungkayahkan bagi meraikan 6 tahun perkhidmatan dan mengenang jasa beliau sebagai Sarjan Mejar TUDB sebelum memegang jawatan menjadi Sarjan Mejar Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Ketibaan Yang Mulia Pegawai Waran 1 (U) Muhd Syahiran bin Haji Abu Bakar dan isteri di Mes PW, SSjn dan Sjn Batalion Kedua Tutong Kem, telah disambut oleh Yang Mulia Pegawai Waran 1 (U) Suridi bin Haji Ibrahim, Sarjan Mejar TUDB dan Pengerusi Majlis Pegawai Waran 2 (U) Suziman bin Sabli.
Seramai 175 anggota telah hadir pada majlis tersebut yang terdiri dari Sarjan Mejar-Sarjan Mejar Rejimen Kumpulan, Sarjan Mejar Kawad Kumpulan, Sarjan Mejar Pangkalan, yg Dipertua Mes TUDB, Dipertua Mes Kumpulan, PTB-PTB Kanan TUDB serta isteri dan dua anggota dari Tentera Udara Republik Singapura sebagai tetamu khas.
Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan jamuan makan. Majlis diikuti dengan ucapan daripada Yang Mulia Pegawai Waran 1 (U) Suridi bin Haji Ibrahim dan majlis diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat dan Isteri. Ini diikuti dengan ucapan balas daripada Tetamu Kehormat.
Untuk memberkati majlis bacaan doa selamat dibacakan dan majlis diakhiri dengan menandatangani lembaran kenangan.