KUNJUNGAN PENGENALAN DARIPADA DUTA BESAR ISTIMEWA DAN MUTLAK AMERIKA SYARIKAT KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BOLKIAH GARISON, Khamis, 15 September 2022 – Yang Mulia Brigedier Jeneral (Bersara) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd. Kadir, Timbalan Menteri Pertahanan, telah menerima kunjungan pengenalan pada pagi ini daripada Puan Yang Terutama Caryn R McClelland, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam.
Semasa kunjungan pengenalan tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan mengucapkan tahniah atas pelantikan Puan Yang Terutama sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke negara ini. Kedua-dua pihak mengesahkan hubungan dua hala yang mesra dan kerjasama padu, terutamanya dalam sektor pertahanan dan ketenteraan, dan melahirkan rasa gembira atas kerjasama berterusan dalam aktiviti ketenteraan. Kedua-dua pihak juga mengesahkan penglibatan berterusan di peringkat pelbagai hala, antaranya melalui Southeast Asia Cooperation and Training (SEACAT), serta melalui rangkakerja Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).
Kerjasama pertahanan dan ketenteraan di antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat telah termeterai melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman dalam Kerjasama Pertahanan pada 29 November 1994.
Puan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Watikah Pelantikan beliau Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 24 Mei 2022.