﷽
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
الحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِيْنَ وَالصَّـلَاةُ وَالسَّـلَامُ عَلى أَشْـرَفِ الأَنْبِيَـاءِ وَالمُرْسَلِيْـنَ وَعَلٰى اٰلِهٖ وَصَحْبِهٖ اَجْمَعِيْنَ
Segala puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta seluruh pengikut Baginda yang setia hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala, kita sekali lagi diberi peluang untuk menyambut bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan 1446H/2025M, yang akan bermula pada 01 Ramadhan 1446H bersamaan 01 Mac 2025M. Bulan ini adalah yang dinanti-nantikan untuk kita meningkatkan ketakwaan dan memperkukuhkan keimanan melalui ibadah, muhasabah diri, serta amal kebajikan.
Dalam konteks Maqasid Syariah, Ramadhan adalah bulan yang menyempurnakan tujuan utama syariat Islam, iaitu menjaga agama melalui ibadah berpuasa, solat tarawih dan berqiyamulail setiap malam khususnya 10 malam terakhir nanti. Di dalam konteks menjaga jiwa di bulan Ramadhan pula bermaksud menjaga hati dan qalbu, serta memperkukuh kesabaran termasuk mengawal nafsu dengan mendidik diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan atau mengurangkan pahala ibadah puasa. Manakala dari konteks menjaga harta di dalam bulan Ramadhan pula ianya bermaksud untuk memperbanyakkan sedekah serta membayar zakat demi tujuan ganjaran pahala yang berlipat ganda di samping membantu golongan yang memerlukan. Di samping itu, ia juga memberi ruang untuk kita mempereratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan selaras dengan prinsip menjaga keturunan, khususnya hubungan kita dengan ibu bapa yang masih ada. Manakala bagi ibu bapa yang sudah tiada, bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh rahmat untuk kita mendoakan agar mereka sentiasa dirahmati Allah SWT, dan ditempatkan bersama para solehin dan solehah.
Sempena bulan yang mulia ini, saya mengajak semua warga dan anggota Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) untuk bersama-sama menyertai Amalan Membaca/Bertadarus Al-Quran Harian TUDB, satu inisiatif yang bukan sahaja menyuburkan budaya membaca Al-Quran, tetapi juga memperkukuhkan iman dan takwa serta mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan meraih pahala yang berlipat ganda. Dalam masa yang sama, marilah kita menghidupkan bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat, bacaan Al-Quran, zikir, serta amal kebajikan. Bulan yang penuh rahmat ini juga memberi peluang untuk kita mempererat silaturahim dalam kalangan anggota, keluarga, dan sahabat, membina persaudaraan yang lebih erat, serta mengukuhkan sifat tolong-menolong dalam kebaikan.
Saya juga ingin mengingatkan semua warga dan anggota TUDB agar tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik. Marilah kita bersama-sama berkongsi rezeki melalui sedekah dan bantuan kepada yang memerlukan, kerana setiap amal kebaikan di bulan yang penuh rahmat ini akan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Dalam masa yang sama, marilah kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota TUDB dengan penuh disiplin serta dedikasi, kerana setiap usaha yang dilakukan dengan ikhlas juga merupakan satu bentuk ibadah yang mendapat ganjaran di sisi-Nya.
Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga kesempatan untuk kita memperbaiki diri, mensyukuri nikmat Allah, serta menanamkan rasa empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik. Oleh itu, marilah kita menghidupkan bulan ini dengan amalan yang membawa keberkatan dan rahmat, agar kita memperoleh keampunan serta ganjaran yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Di kesempatan ini, saya dan Badan Eksekutif TUDB serta ahli keluarga dengan penuh keikhlasan mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan 1446H kepada semua warga dan anggota TUDB. Semoga segala amalan dan ibadah kita diterima serta mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Aamiin, Aamiin, Aamiin Ya Rabbal 'Alamiin.
Salam Ramadhan. Selamat Menunaikan Ibadah Puasa.
وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ