Skip Ribbon Commands
Skip to main content
UCAPAN YANG BERHORMAT MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERTAHANAN II SEMPENA MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI TAHUN 1445H/2024M



وَحَبِيْبِنَا مُـحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْـمَعِيْنَ ، وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ ، أَمَّا بَعْدُ


اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلّٰهِ الْحَمْدُ

Alhamdulillah, segala puji-pujian dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala yang telah melimpahkan nikmat, rahmat, dan inayah-Nya dan memberikan kesempatan untuk kita menyempurnakan ibadah fardhu puasa di bulan suci Ramadhan dengan penuh kesabaran dan ketaqwaan. Semoga semua amal ibadat, munajat dan amalan-amalan baik lainnya akan diterima dan mendapat ganjaran dariNya jua, serta ujian yang baharu saja kita tempuhi akan memberikan kita hikmah dan semangat dalam meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin. Kejayaan melalui Ramadhan ini merupakan satu kemenangan buat seluruh umat Islam, dan dengan kedatangan bulan Syawal kita meraikan Hari Raya Aidil Fitri dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan. 

Bulan Syawal merupakan bulan istimewa yang menandakan titik puncak kejayaan umat Islam mengharungi cabaran dalam menyempurnakan syariat Islam, kembali kepada fitrah dan seterusnya memperbaiki lagi amal ibadah dengan penuh ketabahan, kesabaran dan taqwa. Bulan mulia ini juga merupakan peluang untuk merapatkan kembali jalinan persaudaraan dan silaturahim serta mengekalkan ukhuwah sesama saudara muslim, di samping melanjutkan ketaatan dalam beribadat demi membentuk peribadi yang lebih baik dari sebelumnya. Sebagai ungkapan syukur atas segala nikmatNya, marilah kita terus istiqamah meneruskan amal-amal ibadat ini semoga dipertingkatkan lagi ketaqwaan kita dan mendapat balasan dan keredhaan Ilahi jua hendaknya. 

Mengenang 40 tahun kemerdekaan negara tahun ini, Syawal 1445 Hijrah amat bermakna dan wajar disambut dengan penuh tawaduk dan kesyukuran kerana ianya dirayakan dalam suasana negara kita terus dipayungi dengan nikmat kedamaian, keselamatan dan kemakmuran, berkat lindungan rahmat dan petunjuk dari Allah Subhanahu wa Ta’ala serta kepemimpinan berdaulat lagi bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, ibni Al Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Seiring dengan suasana harmoni dan keceriaan Syawal, adalah penting juga bagi kita untuk menghayati sikap bersederhana dalam menzahirkan kegembiraan menyambut Aidilfitri, di samping menghormati nilai-nilai murni dalam masyarakat dan organisasi demi memelihara batas dan keutuhan agama, bangsa dan negara, bertepatan dengan prinsip Melayu, Islam, dan Beraja (MIB).

Di kesempatan istimewa ini, saya secara peribadi dan keluarga, dan bagi mewakili tampuk kepimpinan Kementerian Pertahanan, sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1445 Hijrah/2024 Masihi, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan berserta keluarga dan tidak dilupakan juga pegawai-pegawai dan anggota-anggota yang bertugas dan menjalani kursus di luar negara. Semoga bulan kemenangan ini dijadikan juga sebagai medan untuk bermuhasabah terhadap usaha dan tindakan kita dalam menentukan keberkesanan sesuatu tindakan, memperbaiki kelemahan, dan meningkat gandakan kerjasama dan usaha ke arah impak lebih besar dalam semua aspek kehidupan, khususnya aspek keselamatan termasuklah juga pertahanan negara.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala bagi kita terus dikurniakanNya rahmat dan perlindungan, dan semoga Syawal ini menjanjikan kebaikan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada semua, dan agar kita dipertemukan kembali dengan bulan Ramadhan dan Syawal yang akan datang dengan keimanan dan ketaqwaan. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.


وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Attachments