Skip Ribbon Commands
Skip to main content
KENYATAAN SIDANG MEDIA MAKLUMAN ATURCARA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-64



KENYATAAN SIDANG MEDIA

MAKLUMAN ATURCARA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE-64


Dewan Nakhoda, Pusat Latihan Tentera Laut 

Pangkalan Muara, Tentera Laut Diraja Brunei


Hari Rabu, 23 Zulkaedah 1446H bersamaan 21 Mei 2025M 



Bismillahir Rahmanir Rahim dan Salam Sejahtera,


  1. Kementerian Pertahanan melalui Pengerusi Tertinggi Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) Ke-64, dengan sukacitanya memaklumkan kepada orang ramai bahawa acara kemuncak sambutan pada tahun ini akan berlangsung pada Hari Sabtu, 3 Zuljijjah 1446 Hijrah bersamaan dengan 31 haribulan Mei 2025 Masehi, bertempat di Pangkalan Muara, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB). Sambutan ini akan dilanjutkan pada keesokan harinya, iaitu Hari Ahad, 4 Zulhijjah 1446 Hijrah bersamaan dengan 1 haribulan Jun 2025 Masehi.

  2. Acara sambutan yang dirancang selama dua (02) hari akan menampilkan pelbagai pengisian menarik disusun khas untuk tatapan dan penyertaan orang ramai. Pada Hari Pertama, iaitu hari kemuncak, acara akan bermula seawal jam 7.30 pagi dengan acara Perbarisan Raksasa yang akan berlangsung di Padang Kawad TLDB, disusuli dengan pertunjukan Sailpast dan Terbang Lalu. Berapa kem khas turut disediakan bagi memudahkan orang ramai untuk menyaksikan acara dengan selesa dan teratur. Acara pada hari tersebut dijadualkan berakhir pada jam 5.00 petang. Manakala, pada Hari Kedua pula, acara-acara akan diteruskan bermula dari jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang.
  3. Selain itu, orang ramai juga berpeluang untuk menyaksikan Acara Pesembahan Arena berupa simulasi Joint Maritime Interdiction Operation yang akan berlangsung di Jeti Bravo pada jam 10.45 pagi. Persembahan ini memperlihatkan penglibatan gabungan aset dan anggota daripada unit-unit utama ABDB dalam melaksanakan operasi bagi menangani ancaman pengganas yang menggangu kedaulatan diperairan Negara Brunei Darussalam. Simulasi ini dijangka memberikan gambaran jelas tentang kesiapsagaan dan kecekapan operasi bersama dalam menghadapi situasi sebenar di lapangan.

  4. Disamping itu, Pameran Statik Aset-Aset dan Pameran Kerjaya ABDB turut diadakan, khususnya melibatkan penyertaan dari unit-unit utama ABDB. Orang ramai juga dijemput untuk menyertai Lawatan Kapal (Open Ship) yang memberi peluang kepada orang ramai untuk menaiki dan meninjau dengan lebih dekat kapal TLDB. Acara sambutan ini turut dimeriahkan dengan penyertaan daripada pelbagai syarikat tempatan dan swasta yang akan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

  5. Bazaar jualan dari para peniaga tempatan juga akan ditempatkan di lokasi yang sama, yang menyajikan pelbagai pilihan jualan menarik termasuk gerai makanan dan minuman, pakaian, livecook, dan juga food trucks. Menambah lagi kemeriahan, Cabutan bertuah akan turut diadakan, dengan pelbagai hadiah menarik yang ditaja oleh pihak-pihak penaja. Pengumuman pemenang cabutan bertuah akan diumumkan bermula pada jam 3:00 petang pada hari kemuncak sambutan sahaja.

  6. Beberapa persembahan hiburan daripada Pancaragam ABDB turut dijadualkan bagi menghiburkan orang ramai sepanjang acara berlangsung.

  7. Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang beramai-ramai bersama keluarga bagi sama-sama memeriahkan lagi suasana sambutan kali ini. Kehadiran masyarakat umum akan menyerlahkan lagi semangat perpaduan dan sokongan terhadap institusi pertahanan negara.

  8. Bagi kemudahan orang ramai, sebanyak tujuh (07) kawasan letak kereta telah disediakan sebagai lokasi pengambilan penumpang oleh perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle buses’ pick-up points) untuk masuk ke Pangkalan Muara, Tentera Laut Diraja Brunei. Lokasi-lokasi tersebut adalah di kawasan letak kereta Pantai Muara; di kawasan letak kereta Maritime Port Authority Brunei Darussalam; di kawasan letak kereta Pelabuhan Muara; di kawasan letak kereta Flat Barek Kelamin TLDB; di kawasan letak kereta Klinik Muara; di kawasan letak kereta Masjid Setia Ali dan di kawasan letak kereta Pusat Tingkatan Enam Meragang. 

  9. Perkhidmatan bas ulang-alik mula beroperasi seawal jam 5.30 pagi, mengikut yang telah ditetapkan, dan berakhir pada jam 6.00 petang. Semua pergerakan masuk akan melalui Pagar Utama Pangkalan Muara TLDB, dan perkhidmatan bas ulang-alik akan membawa pengujung ke dua (02) lokasi perhentian (drop-off points) utama iaitu di Dewan Gerak Badan dan MRS TLDB. Kedua-dua lokasi ini akan berfungsi sebagai lokasi pengambilan penumpang (pick-up points) bagi perjalanan keluar dari Pangakalan Muara. 

  10. Untuk makluman orang ramai, kawasan-kawasan letak kereta di didalam Pangkalan Muara adalah dikhaskan hanya untuk para jemputan khas dan petugas rasmi yang terlibat dalam sambutan HUT ABDB Ke-64.

  11. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan masing-masing bagi menggelakkan akan kejadian yang tidak diingini berlaku serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas. Ini adalah sangat-sangat diharapkan bagi memastikan kelancaran pergerakan masuk ke dalam Pangakalan Muara TLDB, mengelakkan kesesakan lalu lintas, dan menjamin keselamatan serta kesejahteraan semua yang hadir.

  12. Memandangkan cuaca yang berkemungkinan kurang menentu dan keadaan lokasi sambutan yang terbuka, orang ramai adalah disarankan untuk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan diri. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah memastikan meminum air yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi, menggunakan krim pelindung maatahari (suncream) jika perlu, serta berlindung di kawasan yang redup atau menggunakan payung bagi mengurangkan risiko pendedahan berpanjangan kepada cahaya terik matahari yang boleh strok haba.

  13. Pada masa yang sama, orang ramai turut diingatkan untuk mengamalkan etika yang baik dan sikap bertolak ansur sepanjang acara berlangsung. Ini termasuk tidak meletakkan kereta diluar kawasan letak kereta yang telah ditetapkan, beratur dengan tertib semasa menaiki bas ulang-alik (shuttle bus), dan tidak berebut-rebut ketika turun. Orang ramai juga diingatkan untuk mematuhi segala arahan dan larangan yang diberikan oleh para petugas, memandangkan kawasan pangkalan merupakan kawasan terkawal, terutamanya dari segi larangan mengambil gambar di kawasan larangan.

  14. Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling, khususnya ketika menyeberangi atau bejalan kaki di atas jalan raya didalam kawasan pangkalan, kerana terdapat kemungkinan kenderaan atau jentera berat tentera akan melalui laluan-laluan tersebut pada bila-bila masa.

  15. Jika berlaku sebarang kecemasan atau kecederaan, orang ramai boleh mendapatkan bantuan segera dengan melaporkannya kepada para petugas yang berhampiran, mengunjungi pondok-pondok medik yang disediakan dikawasan acara, atau terus ke MRS TLDB di dalam kawasan pangkalan.

  16. Sebagai tambahan, orang ramai yang tidak berpeluang untuk hadir secara fizikal, Upacara Perbarisan Raksasa pada hari kemuncak sambutan akan disiarkan secara langsung melalui saluran RTB Sukmaindra dan RTB Perdana, serta dalam talian melalui RTB Go Live di laman sesawang www.rtbgo.bn, dan melalui siaran radio di RTB Nasional dan RTB Pilihan. 

  17. Untuk sebarang maklumat terkini mengenai sambutan HUT ABDB Ke-64, termasuk maklumat yang telah dikongsikan sebentar tadi, orang ramai bolehlah merujuk kepada akaun media sosial rasmi Kementerian Pertahanan di Instagram @mindefbrunei dan melayari laman sesawang rasmi di www.mindef.gov.bn.

 

Sekian, Terima Kasih.​​

Attachments