Skip Ribbon Commands
Skip to main content
UCAPAN YANG BERHORMAT PEHIN DATU LAILARAJA MEJAR JENERAL (BERSARA) DATO PADUKA SERI AWANG HAJI HALBI BIN HAJI MOHD YUSSOF MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERTAHANAN II SEMPENA TAHUN BAHARU MASIHI 2025





 

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ

سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَبَعْدُ

 

Dengan penuh rasa syukur, peramba / saya mewakili pucuk kepimpinan Kementerian Pertahanan ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025 Masihi kepada seluruh lapisan warga awam dan tentera Kementerian Pertahanan. Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala yang telah memberikan kita peluang untuk melangkah ke tahun baharu ini dengan semangat dan azam yang baharu. Peramba / saya menyeru kita semua agar memanfaatkan kesempatan ini untuk terus memperkukuhkan iman, ilmu, dan ihsan dalam setiap langkah perkhidmatan kita demi menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara.

 

Pada kesempatan ini, bersama kita memperbaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ​ ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan iringan doa semoga Baginda terus kekal qarar memerintah di atas singgahsana Kerajaan, dan Negara Brunei Darussalam  di bawah kepimpinan bijaksana lagi berdaulat Baginda mencapai negara Baldatun Thayyibatun Warrabun Ghafur.

 

Kementerian Pertahanan juga menjunjung kasih setinggi-tingginya atas Titah Perutusan Tahun Baharu Masihi 2025 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Menyahut seruan titah tersebut, Kementerian Pertahanan akan terus beriltizam melaksanakan dan memperkasakan visi serta misi yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2021, dengan matlamat utama menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035.

 

Menelusuri lembaran pencapaian sepanjang tahun 2024, Kementerian Pertahanan dengan berpandukan strategi pertahanan berasaskan tiga tunjang teras serta kerangka hasil kerja IKWONDAMAI, telah berjaya mencatatkan pelbagai kejayaan yang membanggakan. Antara sorotan penting termasuklah ketibaan pesawat-pesawat C295MW kedalam perkhidmatan di Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) seterusnya diikuti dengan kejayaan menyertai Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Pemulihan Bencana “BADAI TADUH" di Republik Filipina dan penyertaan berterusan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam misi pengaman United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) dan Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring, and Assistance Team (IDB/VMAT). Penyertaan ini bukan sahaja telah memperkukuhkan kredibiliti dan martabat Negara Brunei Darussalam, malah turut mengukuhkan kedudukan negara di persada serantau dan antarabangsa. Disamping itu, pelaksanaan operasi di peringkat kebangsaan dan pelbagai projek kesukarelawanan berimpak tinggi telah berjaya memperteguhkan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation. Usaha ini memastikan setiap strategi negara dilaksanakan dengan cekap, holistik, dan berpandangan jauh.      

 

Tahun 2024 juga menyaksikan beberapa pencapaian lain yang signifikan. Antaranya Sambutan Jubli Emas Pasukan Sekuriti Gurkha yang penuh bersejarah dan bermakna; Penganugerahan Pingat Perak kepada Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja (JPPK) dalam Anugerah Inovasi Perdana di sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-31 sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan inovasi; dan kejayaan dalam memodenkan pendidikan ketenteraan menerusi kerjasama strategik Akademi Pertahanan ABDB dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang membuka lembaran baharu dalam pembangunan modal insan pertahanan negara. Segala kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kesepakatan dan kesepaduan kukuh antara semua lapisan warga Kementerian Pertahanan. Oleh itu, peramba / saya menyeru kepada setiap pemimpin awam dan tentera untuk terus menggandakan usaha dengan lebih kreatif, inovatif dan bijaksana, secara teliti, berintegriti dan berhemah demi memastikan setiap aspirasi dan sasaran pertahanan negara terus dicapai dengan cemerlang.

 

Melangkah ke tahun 2025 membawa makna yang amat mendalam, menandakan kita kini memasuki dekad penting dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Era ini bukan sekadar satu transisi tahun, tetapi satu detik penting yang menuntut komitmen, kesatuan, dan kejelasan hala tuju dalam melaksanakan setiap strategi yang telah direncanakan. Dalam konteks ini, pelaksanaan dan penyelarasan inisiatif strategik Kementerian Pertahanan, khususnya melalui program FORCE 2035, perlu diberikan perhatian yang komprehensif dan holistik demi membentuk pasukan pertahanan yang berdaya tahan, cekap, dan responsif terhadap cabaran masa kini dan mendatang. Seiring itu, penerapan 'Maqasid Syariah' sebagai falsafah tadbir urus harus terus diperkemaskan dan ditarbiahkan agar nilai-nilai murni dan teras dapat dihayati dengan penuh hikmah dan tanggungjawab. Dengan usaha padu, dedikasi, dan kerjasama semua pihak, Kementerian Pertahanan akan sentiasa bersedia menghadapi perubahan global, memperkukuh pertahanan negara, dan mencapai visi Wawasan Brunei 2035.

​ 

Sebagai penutup, peramba / saya dengan penuh penghargaan sukacita merakamkan ucapan menjunjung kasih / terima kasih yang setinggi-tingginya kepada seluruh warga Kementerian Pertahanan atas dedikasi, usaha gigih, dan sumbangan buah fikiran dan tenaga yang tidak ternilai sepanjang tahun 2024. Berbekalkan tawakkal dan semangat yang jitu ini, Insha Allah tahun 2025 akan membawa lembaran baharu yang dipenuhi dengan kejayaan yang lebih gemilang, keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada negara dan rakyat Negara Brunei Darussalam. Marilah kita semua berdoa agar segala usaha murni kita diterima sebagai amal jariah yang diberkati dan mendapat kurnia balasan pahala daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Aamiin Ya Rabbal 'Aalamiin.

 

وَبِاللهِ التَّوْفِيْقُ والهِدَايَةُ وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Attachments